Saat itu, segalanya jelas. Cerah. Secerah langit biru selepas hujan. Tiada lagi awan mendung menutupi walau segaris cahaya daripada sampai mencecah bumi. Keyakinan bahawa setiap langkah adalah kerana ingin menuju Tuhannya. Keyakinan bahawa setiap satu yang dilakukan adalah kerana ingin meraih ganjaran negara akhirat. Keyakinan bahawa setiap usaha, setiap masa dan setiap tenaga bukan hanya terbazir, bahkan saham yang bakal dibalas bukan sahaja nanti di akhir sana, namun akan diganjar melalui keberkatan masa dan kemudahan urusan. Oleh itu, dia tidak pernah bimbang andai sahaja diminta sedikit masanya, sedikit tenaganya, sedikit cebisan hidupnya, kerana dia tahu, Si Pencipta bakal membalasnya dengan gandaan yang tidak akan mampu dijangka.
Namun kini, perasaan itu tidak lagi mendiami hatinya. Ketenangan itu hilang entah ke mana. Semangat itu kian pudar dan hanya menunggu masa rebahnya. Keyakinan tidak lagi seutuh masa itu. Dia buntu memikirkan. Apakah yang telah berubah? Bukanlah pengetahuan itu tidak mendiami fikirannya. Tahu sahaja dia bahawa setiap satu perkara adalah disandar hanya kepada Si Dia. Namun , perasaan tidak lagi seperti suatu masa dahulu. Puas dia memikirkan. Puas dia cuba menjejaki kembali setiap satu amalan yang dilakukannya. Hanya demi mencari kembali perasaannya yang telah hilang. Namun, tiada satu pun berjaya menjejak kembali perasaan itu. Hilangnya tanpa jejak seperti telah ditelan bumi.
Semakin buntu dia memikirkan. Semakin menyesakkan hati dan perasaan. Walau pun semakin banyak tanggungjawab yang tergalas di bahunya, dia gagal juga menjejaki perasaan itu. Akhirnya, dia sampai kepada satu kesimpulan.
Kini, segala yang dilakukan adalah atas dasar tanggungjawab. Tiada lagi roh yang dirasai dengan setiap satu perkara itu. Kerana apa? kerana dia hanya memikirkan teknikalnya sahaja tanpa memikirkan rohnya. Umpama solat yang hanya dilakukan kerana ianya merupakan kewajipan, satu kemestian, satu tanggungjawab. Bukan lagi dilihat sebagai masa untuk berdua-duaan dengan Si Dia Kekasih yang satu untuk mencurah segala isi hati.
Walau sebanyak mana penjelasan diberikan kepada hati, bahawa ia medan untuk menuju Si Dia, namun jauh di dasar hati itu, keyakinan tidak lagi seutuh suatu masa dahulu. Tiada lagi kemanisan atas setiap mas'uliyyah yang diamanahkan. Kerana jauhnya hati itu dengan Sang Penciptanya.
"Aku merindui saat itu, saat di mana, kehidupan hanya ada Allah dan Islam. Dan setiap satu perkara hanya berkisar kepadaNya. Setiap inci kehidupan adalah tentangNya dan setiap saat adalah masa berdua-duaan dengan Si Dia"
~bicara hati ini sendiri~
2 comments:
toing toing melompat di pesantren kerinduan!
>atTahirah...
jgn jatuh~ (^_^)
Post a Comment