Monday, January 2, 2012

::Iman dan Kehidupan - Part 1::

Bismillahirrahmanirrahim

Apabila berkata tentang keimanan, apa yang kita akan fikir? Iman dari sudut bahasa dan dari sudut istilah? Skema jawapan SPM? Mungkin. Mungkin juga tidak, tepuk dada tanya iman masing-masing, apakah definisi si dia iman itu?

I M A N

Mengikut definisi yang saya dapat daripada buku 'Iman Wal Hayah' (Iman dan Kehidupan) karya Dr Yusuf Al-Qardawi, iman adalah kepercayaan yang meresap ke dalam hati, dengan penuh keyakinan, tidak bercampur syak dan ragu, serta memberi pengaruh bagi pandangan hidup, tingkah laku dan perbuatan sehari-harian.


Saya ingat hafalan saya di zaman persekolahan dulu-dulu, definisi iman yang saya hafal ada 3 elemen;
(1) kepercayaan yang teguh di dalam hati,
(2) pengakuan dengan lidah dan
(3) perlakuan dengan anggota

Seingatnya inilah maksud iman yang saya hafal dahulu. Mungkin anda menghafal sesuatu yang lain, tapi bukan perbezaan itu yang saya ingin bawa pada hari ini.

Dr Yusuf Al-Qardawi menghuraikan iman lebih daripada itu;

Iman bukan hanya semata-mata pernyataan dengan lidah sahaja, mengatakan bahawa dia itu seorang mukmin (orang yang beriman). Kenapa? kerana banyaknya orang munafiq yang mengaku beriman namun tidak ada sedikit pun kepercayaan di dalam hatinya.

Apa kata Allah tentang ini?


"Dan di antara manusia itu ada yang menyatakan; "kami beriman kepada Allah dan hari akhirat", sedang yang sebenarnya mereka bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan menipu orang-orang yang beriman,tetapi yang sebenarnya mereka menipu diri mereka sendiri dan mereka tidak sedar"
(Al-Baqarah; 2: 8-9)
Iman juga bukanlah hanya mengerjakan amal yang biasa dilakukan oleh orang yang beriman. Kerana apa? Kerana orang munafiq juga banyak mengerjakan amal perbuatan yang pada zahirnya nampak seperti perbuatan yang baik dan beriman sedangkan hati kosong daripada rasa keikhlasan dan kebaikan itu.

"Sesungguhnya orang-orang munafiq itu hendak menipu Allah, dan Allah menipu mereka. Apabila mereka berdiri mengerjakan sembahyang, mereka berdiri dengan malas,  mereka riya' (mengambil muka) kepada manusia dan tiada mengingati Allah, melainkan sedikit sekali"
(An-Nisa; 4:142)

Dan Iman juga bukanlah semata-mata mengetahui erti dan hakikat iman. Kerana apa? kerana banyak juga orang yang tahu apa itu iman secara teorinya, tetapi tidak beriman.

"Mereka menyangkal (membantah) keterangan-keterangan (agama) Allah kerana dengki dan sombong, padahal hati mereka meyakininya..."
(AN-Naml; 27:14) 

""...sesungguhnya sebahagian dari mereka menyembunyikan kebenaran , padahal mereka tahu"
(Al-Baqarah;2:146)

Sangatlah tersentuh apabila membaca bahagian ini daripada buku karangan Dr Yusuf Al-Qardawi ini, kerana jelas bahawa keimanan itu tidak cukup dengan hanya yakin dan percaya. Atau cukup dengan tahu teori dan buat.

Jadi, apa itu keimanan sebenarnya?

Nantilah ye, selepas dibaca habis part seterusnya inshaAllah akan disambung lagi tulisan ini.

Tolong doakan saya agar saya istiqomah menulis sambungannya~

No comments:

Other posts:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...