Tuesday, January 3, 2012

::Iman dan Kehidupan - Part 2::

Bismillahirahmanirrahim

I M A N

Masih mencari-cari maksudnya. Iman bukanlah hanya tahu teorinya, tahu rukunnya dan dengan pengetahuan itu menjadikan kita orang yang beriman; Mukmin.

Keimanan itu perlu dapat diterima aqal sehingga ada tingkat keyakinan yang teguh kuat, tidak dapat digoncangkan oleh perasaan bimbang dan ragu. Kita perlu benar-benar yakin dengan Islam dan Allah sehingga kita tidak akan termangu-mangu jika disoal, kenapa kita buat itu, kenapa kita buat ini?

"sesungguhnya orang yang beriman itulah mereka yang beriman (percaya) kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu..."
(Al-Hujurat;49:15)

Keimanan itu, disamping pengetahuan dan pegertian yang kuat, perlu pula kepada ketundukan hati dan kepatuhan kemahuan, serta kerelaan menjalankan perintah dan keputusan dengan kejujuran hati.

Itu ayat Dr Yusuf Al-Qardawi dalam bukunya , Iman Wal Hayah. Apa yang saya sendiri faham berdasarkan perenggan di atas adalah; dengan pengetahuan tentang konsep keimanan, perlunya kita menundukkan diri kita dan kemahuan kita kepada Allah. Kepatuhan kemahuan, memastikan kemahuan kita dilentur menurut syariat yang Allah tetapkan tatkala kita mengatakan kita beriman. Ia tidak cukup hanya tahu, ia perlu tahu dan buat. Namun, ia tidak cukup pula hanya tahu dan buat, ia memerlukan kejujuran hati, memerlukan hati itu rela dan benar-benar menginginkan Allah dalam setiap tindakan.

"Maka demi Tuhan engkau. mereka belumlah dinamakan beriman, sebelum mereka meminta keputusan kepada engkau (Muhammad) dalam perkara yang menjadi perselisihan antara mereka, kemudian itu mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap apa yang engkau putuskan dan mereka menerima dengan senang hati"
(An-Nisa;4:65)

"Ucapan orang yang beriman itu, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya untuk diputuskan perkara antara mereka, hanyalah mengatakan: "Kami dengar dan kami patuhi", dan itulah orang yang beruntung"
(An-Nur; 24:51)

Lagi tentang keimanan?

Keimanan itu bukan hanya tahu dan mengerti. Keimanan harus melahirkan semangat bekerja dan berkorban dengan harta dan diri, menepati kehendak iman dan kewajipan orang yang beriman.  Apa kewajipan orang yang beriman? Tentu sekali menunaikan solat, puasa, zakat dan haji seharusnya dalam top list kita!

Lagi?

Dengan keimanan, kita sepatutnya menjadi orang paling semangat untuk menuntut ilmu, kerana ia dituntut oleh Allah. Sepatutnya dengan keimanan kita menjadi orang yang sentiasa tersenyum dan suka membantu, kerana ia disukai Allah. Sepatutnya dengan keimanan, kita menjadi orang yang paling menjaga masa, kerana Allah membenci perbuatan sia-sia. Itu kalau dalam sehari-harian. Dan tentu sekali banyak lagilah pekerjaan dan pengorbanan yang kita boleh buat dalam hidup sehari-harian yang dengan hadirnya keimanan, ia adalah sesuatu yang kita sangat eager (semangat) nak buat.

Dan sepatutnya dengan keimanan, kitalah yang menjadi barisan hadapan dalam mengajak manusia ke jalan Allah, kerana ia sunnah terbesar Rasulullah s.a.w. Dan kitalah orang pertama yang menghulurkan bantuan berbentuk harta atau tenaga tatkala diperlukan, kerana ia sangat dituntut dalam Islam. Semua ini sekadar contoh yang boleh dilahirkan oleh keimanan yang sebenarnya. Saya yakin anda semua lebih bijak mencungkil contoh-contoh lain lagi.

"Sesungguhnya orang beriman itu, apabila disebut nama Allah, hati mereka penuh ketakutan, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, keimanan mereka bertambah kerananya dan mereka menyerah diri kepada Tuhannya. Mereka mengerjakan sembahyang dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang sebenar-benarnya beriman"
(Al-Anfal;8:2-4)

Al-Quran memberikan garis pemisah yang jelas tentang orang yang beriman dan orang yang kafir dan munafiq. Bentuk budi pekerti yang baik dan amal yang berguna menjadi pemisah utama antara 2 golongan ini, kerana apa? kerana kedua-duanya lahir daripada keimanan kepada Allah dengan sebenar-benar keimanan.

"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman; mereka khusyu' dalam solatnya. Dan yang menjauhkan diri dari (perkataan dan perbuatan) yang tidak berguna. Dan yang mengerjakan perbuatan suci (membayar zakat) dan mereka yang menjaga kesopanannya"
(Al-Mu'minun; 23:1-5)

Sekarang, kitalah yang memilih, ingin berada dalam golongan yang mana? Keimanan yang sebenar-benarnya kepada Allah dan menjadi orang yang berjaya atau sebaliknya?

Yang saya faham setelah membaca bahagian ini, benarlah apa yang saya hafal dahulu, cuma ia bukan 3 elemen yang berbeza, keimanan perlu kepada ketiga-tiganya, dan tidak boleh kurang walaupun hanya satu.

Kita perlu percaya dan yakin dengan hati sehingga tidak mampu digoncangkan oleh sesiapa pun, dan keyakinan itu haruslah dizahirkan melalui percakapan dan perbuatan.

Keyakinan dan keimanan harus melahirkan amal, tidak lengkap satu tanpa satu yang lainnya.

Tidak cukup hanya percaya tetapi tidak beramal, pun tidak sempurna hanya melakukan ibadah dan amal perbuatan yang baik tanpa keyakinan yang teguh itu.

Dan tidak dapat tidak, keyakinan dan keimanan yang sempurna akan melahirkan amalan, kerana kita ingin memenuhi expectation Allah terhadap kita, itu yang pasti!

Selamat beramal semua orang! Semoga Allah memperbaiki iman kita setiap hari kita cuba mendekati-Nya!

p/s: maaf sekiranya apa yang saya faham salah, tegurlah saya kerana saya juga sedang belajar!




Sumber : Buku karangan Dr Yusuf Al-Qardawi, Iman wal Hayah (Iman dan Kehidupan)

No comments:

Other posts:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...