Monday, November 23, 2009

Zu Al-Bijadain- pembeli akhirat dengan dunia


Di celah-celah gunung yang terletak berhampiran Yathrib, dilahirkan seorang bayi lelaki bernama Abdul ‘Uzza bin Abd Naham al-Muzaniy. Dia merupakan anak kepada sepasang suami isteri yang miskin dan Allah telah menjemput ayahnya ketika dia masih lagi belum pandai berjalan. Namun, bayi ini mempunyai seorang bapa saudara yang kaya dan kekayaan itu dilimpahkan kepada bayi tersebut. Abdul ‘Uzza disayangi seperti anak sendiri. Sehinggalah bayi itu meningkat dewasa, dia telah menjadi orang pertama dari kaumnya yang memeluk Islam. Keislamannya dirahsiakan. Harapannya agar bapa saudaranya turut memeluk Islam dan agar keislamannya boleh diumumkan. Lama pemuda mukmin ini bersabar namun pakciknya tetap jauh daripada Islam. Pemuda ini terlepas peluang demi peluang untuk bersama-sama Nabi Muhammad dalam banyak peristiwa sehinggalah dia nekad, walau apa pun akibatnya, dia akan berterus-terang. Tatkala keislamannya diketahui oleh pak ciknya, inilah yang dikatakan kepada pemuda tersebut.

“Saya bersumpah demi al-Lata dan al-Uzza, jika kamu memeluk Islam, saya akan mengambil kembali segala yang telah saya berikan kepadamu. Saya akan serahkan kamu kepada dunia kepapaan. Saya akan biarkan kamu menjadi mangsa kelaparan”

Namun, pemuda itu tetap dengan akidahnya yang mengesakan Allah. Pemuda bani Muzani ini pun berhijrah dengan agamanya kepada Allah dan Rasulnya. Dia segera ke Madinah kerana rindunya yang membuak-buak kepada Rasulullah. Semasa perjalanan itu, pakaiannya terkoyak dua lantas sebahagian dibuat kain lepas dan sebahagian lagi dipakai. Sampai ke Madinah, dia diberi nama Abdullah oleh Rasulullah. Rasulullah berkata,

“Tinggallah berhampiran dengan rumah saya. Kamu menjadi tetamu saya”. Sejak hari itu ,dia dikenali sebagai Abdullah.

Para sahabat menggelarkannya Zu al-Bijadain (pemilik dua kain kasar) setelah melihat pakaiannya dan mengetahui kisah hidupnya.

Sesungguhnya dia meninggal dunia dalam keadaan berhijrah kepada Allah,

berjihad di jalan Allah,

asing dari negeri dan rumah asal,

jauh dari keluarga dan kerabat,

Namun,

Allah gantikan dengan gentian yang jauh lebih baik…..

Para sahabat yang mulia menggali kubur untuknya

Rasulullah sendiri yang turun ke dalam kubur

Kedua tangan baginda yang mulia telah meratakan kuburnya

Abu Bakar dan Umar r.a yang menghulurkan jenazahnya ke dalam kubur kepada baginda Nabi

Abdullah bin Mas’ud yang menyaksikan pengebumian tersebut berkata,

“Alangkah bertuahnya jika saya menjadi pemilik lubang (kubur) ini. Demi Allah, saya kepingin kalaulah saya berada di tempatnya. Saya telah memeluk Islam 15 tahun lebih awal daripadanya”

2 comments:

Amin Rukaini Mustafa said...

Perkongsian yang bagus, teruskan wadah dan wacana ini!

~AiMaLSyauQiyaH~ said...

jzklh~ anda juga..

Other posts:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...