Monday, October 29, 2012

Bersusah payah

Bismillahirrahmanirrahim

Ada seorang kakak pernah berkata kepada saya, hidup ini susah, kerana manusia memang diciptakan berada dalam keadaan bersusah payah.


"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah" 

(Al-Balad; 90:4)

Kalau kata hidup kita susah, bermakna, kita sedang melalui jalan yang sepatutnya kita lalui.

Oleh itu, senyumlah setiap kali kita diberi ujian :)

Sunday, October 28, 2012

Al-Qari'ah

Bismillahirrahmanirrahim




Al-Qariah, surah yang menceritakan hakikat hari Qiamat.

Allah menceritakan keadaan ketika berlakunya hari QIamat dan kesudahan manusia dengan hanya 11 ayat. Namun, gambaran itu cukup untuk menggerunkan kita, andai kita benar-benar memahaminya.

Selari dengan kupasan surah At-Takathur sebelumnya (sekiranya tafsir juzuk 30 dibuat mengikut urutan dari belakang, dimulai dengan surah An-Nas), menceritakan tentang pendekknya kehidupan manusia di dunia, dipenhi dengan bermegah-megah, akhirnya akan masuk ke dalam kubur dan di soal.

Diikuti pula dengan Surah Al-Qari'ah yang membincangkan betapa dahsyatnya hari qiamat itu.

Hanya dengan dua ayat, Allah menceritakan kisah keadaan pada hari qiamat itu, namun perbandingannya cukup untuk menerangkan bahawa kita hanyalah manusia yang lemah.

" dan pada hari itu, manusia seperti kelekatu yang berkeliaran,"
" dan gunung-ganang (berterbangan) seperti bulu-bulu yang dibusarkan"

Pada hari ini, gunung-ganang yang gah dan hebat ibarat bulu-bulu yang berterbangan, ibarat bulu-bulu yang ditiup angin. Andai kata kita dibandingkan dengan gunung, besar manalah kita, hebat manalah kita, dan di sini, Allah menerangkan gunung-ganang itu ibarat bulu-bulu.

Lalu, kita pula bagaimana? Fikir-fikirkanlah!

Ayat seterusnya menerangkan tentang timbangan amal, mereka yang timbangannya berat akan berbahagia dan mereka yang ringan timbangannya akan kembali ke neraka hawiyah.

Kupasan tafsir Fi Zilalil Quran menerangkan penggunaan perkataan "Um" sebagai tempat kembali.

"Um" bermaksud ibu. Ibu kepada mereka yang ringan timbangannya adalah Neraka Hawiyah.

Ibu selalu kita kaitkan dengan ketenangan, keamanan, tempat berlindung, tempat kembali, tempat bernaung. Dan ibu kepada mereka ini adalah neraka Hawiyah.

Lalu Allah menerangkan apa itu neraka Hawiyah? Itulah neraka yang sangat panas.

Tempat kembali bagi manusia yang ringan timbangannya ini adalah neraka yang sangat panas.

Tempat untuk mencari perlindungan bagi golongan ini adalah neraka yang sangat panas.

Itulah 'home sweet home' bagi golongan ini; neraka yang sangat panas.

Walaupun Allah tidak menerangkan lebih lagi tentang neraka Hawiyah ini, namun ia cukup untuk memberitahu kita bahawa neraka ini sangatlah teruk, berlawanan dengan konsep seorang ibu.

Semoga kita tidak termasuk golongan yang ringan timbangan amalnya. Ayuh! sama-sama kita membaiki diri dan meningkatkan kualiti dan kuantiti amal kita. InshaAllah~

Friday, October 19, 2012

Saat ia bermula

Bismillahirrahmanirrahim

"Usrah itu bermula setelah kita membaca tasbih kafarah dan suratul Asr"

Teringat kata-kata seorang ukhti suatu masa dahulu, ketika mana diri ini sedang bermain di bumi yang subur dengan tarbiyah.

Seperti sangat memahami kata-kata itu pada waktu itu, namun kata-kata itu benar-benar terbukti saat ini.

Usrah adalah untuk mentarbiyah diri. Tarbiyah = pendidikan. Mengajar dan mendidik adalah dua perkara yang sangat berbeza. Mengajar adalah memberi ilmu, sedangkan mendidik adalah mengajar sehingga sesuatu itu benar-benar mendarah daging dalam diri. Kerana itu seorang pendidik akan mengambil berat setiap isu dan perkara berkaitan anak didiknya. Kerana itu ibu bapa selalu dikaitkan dengan mendidik anak-anak. Ia bukan hanya elemen ilmu, sebaliknya ia berkaitan juga dengan elemen kehidupan, dan perasaan, dan banyak lagi.

Dan apa kaitannya dengan kata-kata di atas. Kesan usrah itu bermula saat kita meninggalkan comfort zone kita. Pentarbiyahan diri itu bermula saat kita keseorangan memikirkan diri kita dan orang lain di sekeliling kita yang turut tenggelam dengan arus jahiliyah. Tarbiyah itu bermula saat kita meninggalkan sahabat-sahabat seusrah dan pulang ke tempat masing-masing menyebarkan sedikit sinar daripada kilauan Islam yang kita pelajari.

Bukan banyaknya ilmu yang kita dapat dalam usrah kita menentukan sejauh mana kita tsabat di jalan ini.

Bukan lamanya kita di jalan dakwah ini yang menentukan hebatnya kita di jalan ini.

Bukan juga banyaknya adik-adik usrah yang kita bawa menentukan tiket kita ke syurga.

Sejauh mana ia mendarah daging dalam diri kita yang akan melangsungkan kita di jalan ini.

Ana juga baru setahun jagung. Sangat takut menukilkan bait-bait kata ini. Namun, sekadar ingin meluahkan apa yang terbuku di hati .

Tegurlah andai ada salah, tariklah andai ana hilang menyepi.


Tuesday, October 16, 2012

Neraca

Bismillahirrahmanirrahim

Abu Muhammad Al-Hassan bin Ali bin Abi Talib ra., cucu kesayangan Rasulullah saw berkata, Aku telah hafal sabda Rasulullah saw , 
"Tinggalkan perkara yang meragukanmu dan kerjakan perkara yang tidak meragukanmu" 
(HR Tirmidzi dan Nasa'i, Tirdmizi berkata, "Ini adalah hadis hasan shahih" )

InshaAllah maksud hadis di atas jelas, walaupun tidak dihuraikan.

Ditanya dalam usrah,  mengapa Imam Nawawi banyak membawa hadis-hadis bertema seperti ini dalam himpunan hadis empat puluh karangannya, contohnya hadis 6 berkaitan halal dan haram, atau hadis 27, berkaitan kebajikan dan dosa?

Dan perbincangan tentang perkara itu berterusan. Namun yang pasti, apa yang aku sendiri dapat adalah segala yang Islam bawa adalah untuk membentuk neraca kehidupan kita. Bagaimana kita melihat setiap perkara dalam kehidupan kita.

Hadis 6 menjelaskan yang haram itu jelas dan yang halal itu jelas, dan di antaranya adalah yang syubhah (meragukan), dan sesiapa yang ingin menjaga agama dan kehormatannya, akan menjauhi yang syubhah. Dan akhirnya, jasad dipandu seketul daging bernama hati.

Hadis 27 menjelaskan kebajikan adalah sesuatu yang menenangkan hati dan dosa adalah sesuatu yang meresahkan hati.

Setelah yang haram dan yang halal itu jelas, dan setelah hati dijaga daripada perkara-perkara syubhah, tentulah hati itu mampu memandu jasad.  Lantas hati itu akan mampu membezakan yang baik atau pun yang buruk.

Tidak perlu sesiapa memberi fatwa, tidak perlu ditunggu imam besar menjawab soalan di page-page di medan maya, kerana hati itu pasti tahu untuk meninggalkan makanan yang meragukan, hati itu pasti tahu untuk meninggalkan perbuatan yang membawa kepada kerosakan.

Islam itu jelas, dan Islam itu mudah. Ia nampak susah kerana kita yang membuatnya kelihatan susah. Andai hati itu mengikut fitrah asalnya, ia pasti akan dengan sendirinya menolak perkara-perkara yang membawa kerosakan, dan itulah larangan-larangan dalam Islam. Bukan untuk menghalang, tetapi untuk memelihara.


Wallahu a'lam

Other posts:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...