Tuesday, October 16, 2012

Neraca

Bismillahirrahmanirrahim

Abu Muhammad Al-Hassan bin Ali bin Abi Talib ra., cucu kesayangan Rasulullah saw berkata, Aku telah hafal sabda Rasulullah saw , 
"Tinggalkan perkara yang meragukanmu dan kerjakan perkara yang tidak meragukanmu" 
(HR Tirmidzi dan Nasa'i, Tirdmizi berkata, "Ini adalah hadis hasan shahih" )

InshaAllah maksud hadis di atas jelas, walaupun tidak dihuraikan.

Ditanya dalam usrah,  mengapa Imam Nawawi banyak membawa hadis-hadis bertema seperti ini dalam himpunan hadis empat puluh karangannya, contohnya hadis 6 berkaitan halal dan haram, atau hadis 27, berkaitan kebajikan dan dosa?

Dan perbincangan tentang perkara itu berterusan. Namun yang pasti, apa yang aku sendiri dapat adalah segala yang Islam bawa adalah untuk membentuk neraca kehidupan kita. Bagaimana kita melihat setiap perkara dalam kehidupan kita.

Hadis 6 menjelaskan yang haram itu jelas dan yang halal itu jelas, dan di antaranya adalah yang syubhah (meragukan), dan sesiapa yang ingin menjaga agama dan kehormatannya, akan menjauhi yang syubhah. Dan akhirnya, jasad dipandu seketul daging bernama hati.

Hadis 27 menjelaskan kebajikan adalah sesuatu yang menenangkan hati dan dosa adalah sesuatu yang meresahkan hati.

Setelah yang haram dan yang halal itu jelas, dan setelah hati dijaga daripada perkara-perkara syubhah, tentulah hati itu mampu memandu jasad.  Lantas hati itu akan mampu membezakan yang baik atau pun yang buruk.

Tidak perlu sesiapa memberi fatwa, tidak perlu ditunggu imam besar menjawab soalan di page-page di medan maya, kerana hati itu pasti tahu untuk meninggalkan makanan yang meragukan, hati itu pasti tahu untuk meninggalkan perbuatan yang membawa kepada kerosakan.

Islam itu jelas, dan Islam itu mudah. Ia nampak susah kerana kita yang membuatnya kelihatan susah. Andai hati itu mengikut fitrah asalnya, ia pasti akan dengan sendirinya menolak perkara-perkara yang membawa kerosakan, dan itulah larangan-larangan dalam Islam. Bukan untuk menghalang, tetapi untuk memelihara.


Wallahu a'lam

No comments:

Other posts:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...