Monday, September 7, 2009

Tatkala tarbiyah menyapa -bahagian 2

Hari inilah yang ditunggu-tunggu oleh semua pelajar yang mengambil peperiksaan SPM tahun lalu. Hari inilah juga yang ditunggu oleh Ira. Hari di mana semua usahanya akan membuahkan hasil. Ira melangkah dengan yakin menuju ke sekolahnya. Ibu bapanya juga datang bersamanya. Pada malam sebelumnya Ira telah melakukan solat hajat seperti kebiasaannya untuk memohon kepada Yang Maha Kuasa supaya memberinya kejayaan di atas usahanya selama ini. Ira merupakan bekas pelajar sekolah berasrama penuh, dan melakukan solat hajat telah dijadikan kebiasaan olehnya sejak berada di tingkatan 4 lagi. Walau apa pun hasilnya pada hari ini, Ira pasrah kerana dia tahu dia telah berusaha dan kini dia hanya menyerahkan kepada Allah untuk menentukan segalanya. Dan dia yakin bahawa keyakinannya tidak akan sia-sia.

“Alhamdulillah”, bisik Ira sendirian.

Ira berlari keluar dewan untuk memberitahu ibu dan ayahnya. Melihatkan keputusan Ira ibunya terus memeluk Ira dan Ira membalas pelukan itu. Tidak terlintas di fikiran ira yang ibunya akan menangis melihat keputusannya. Itulah saat yang paling bahagia bagi ira kerana ibunya tidak pernah mengatakan bahawa ingin melihat kejayaan ira. Namun, sejak memasuki sekolah berasrama ini, Ira memang telah bernekad untuk memberi sebuah kejayaan kepada ibu dan ayahnya dan ira sangat bersyukur bahawa hubungannya dengan Adi tidak sedikit pun merosakkan keputusannya. Adi. Nama itu sekali lagi muncul di fikirannya. Bagaimana agaknya keputusan peperiksaan SPM Adi? Soalan yang bermain dibenak hati Ira setelah mendapat keputusannya. Namun untuk bertanya terasa berat sekali kerana takut disangka ingin menunjuk-nunjuk. Tambahan, hatinya masih belum pulih sepenuhnya dengan apa yang telah terjadi. Lantas ira membiarkan soalan itu tanpa jawapan.

Malam itu, lama ira berteleku di atas sejadah – memanjatkan kesyukuran kepada Illahi. Hatinya berasa tenang sekali. Dia sangat bersyukur di atas kejayaan yang diperoleh dan kegembiraan yang dilihat terpancar pada wajah ibu dan ayahnya masih terbayang di matanya. Itulah kegembiraan sebenar. Yang memberi kegembiraan kepada yang melihatnya. Ira teringat satu ceramah yang didengarnya di televisyen, melihat wajah ibu dan ayah merupakan salah satu daripada 5 ibadah tengok, di mana melihat 5 perkara ini, Allah akan memberi pahala. Antaranya ialah melihat Al-Quran, melihat air zamzam, melihat alam, melihat kaabah dan yang terakhir ialah melihat wajah ibu dan ayah. Begitu pemurahnya Allah dalam memberi pahala dan memberi ketenangan kepada hamba-hambaNya.



bersambung~

4 comments:

Akmal Hayat said...

ble nk bersambung ni?

~AiMaLSyauQiyaH~ said...

panjang la kalau nak bubuh sume sekali gus..

...zUlaIkHA... said...

novel bersiri @ cerpen bersiri ni?

huhuh...nice ar!

~AiMaLSyauQiyaH~ said...

ntah la zulaikha... main tulis je.... huhu~

Other posts:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...