Dia merenung ke langit. Mendung bumi empat musim itu berbeza sekali dengan bumi yang dirinduinya. Sungguh, tempat yang sangat dirinduinya. Bumi yang didiami oleh manusia yang dekat sekali di hatinya. Bumi yang menyimpan seribu satu kenangan dan menjadi bukti kewujudannya di muka bumi Allah ini. Dan yang paling penting, bumi yang mengenalkannya kembali kepada Penciptanya. Lahirnya dia sebagai manusia ke dunia sementara ini, juga lahirnya dia sekali lagi sebagai hamba kepada Yang Maha Kuasa.
Dan rindu itu kerap kali bertandang sejak akhir-akhir ini. Mungkin tekanan perasaan menyebabkan emosi gagal dikawal dengan baik. Allah. Pasti ada hikmahnya. Namun, sebagai manusia yang lemah, dia gagal lagi mendidik diri agar membulatkan pergantungan dan pengharapan sepenuhnya kepada Rabbul Izzati. Setelah berminggu-minggu berperang dengan perasaan, setelah berhari-hari dinding rumah menjadi saksi tumpahnya air mata, kini, barulah perasaan itu mampu dikawal sedikit. Ingin menangis di hadapan manusia, ahh! Bukan caranya. Sifat egois melarangnya keras agar tidak menangis di hadapan manusia. Dan ingin menangis di samping keluarga, sudah cukup kiranya mereka itu dibimbangkan tentang diri itu. Walaupun kerap kali hampir tewas apabila berbicara dengan ibu atau ayahnya, namun air mata itu masih mampu ditahan daripada menzahirkan diri di hadapan mereka. Namun, sekali lagi, bilik kosong itu menjadi saksi air mata yang berjujuran mengalir di pipi.
“Alhamdulillah, atas ketenangan ini Ya Allah”.
Dan kini, hati itu semakin tenang. Setelah kekuatan dan kesabaran dipohon daripada Yang Maha Kuat, jiwa itu tidak lagi bergelojak sehebat air yang sedang mendidih. Tidak dinafikan, risau itu tetap mengintai-ngintai ingin mempamerkan diri andai sahaja diberi peluang. Namun, iman dan aqal tetap cuba berhujah agar yakin dengan Allah. Dia tidak akan sekali-kali mengecewakan hambaNya, dan Dia tidak akan memberi sesuatu yang bukan terbaik buat hambaNya.
Yakinlah wahai diri! Bukankah segalanya telah ditetapkan-Nya. Dan kita hanyalah hamba kepada Allah yang menentukan segalanya. Kenapa perlu berkeluh-kesah lagi tentang sesuatu yang di luar bidang kuasa kita? Takdir itu hak Allah, dan usaha itu hak kita. Bukankah itu yang selama ini sering meniti di bibirmu? Hujah aqal kepada hati, seolah-olah ingin meyakinkan lagi.
Alhamdulillah atas perasaan ini Ya Allah. Jadikan aku hamba yang benar-benar mensyukuri nikmatMu. Jadikan aku hamba yang sentiasa bersyukur dengan menggunakan nikmatMu sebaiknya. Jangan Engkau jadikan aku hamba yang kufur terhadap nikmatMu wahai Rabbul A’lamin.
28 ramadhan 1432H
Honeysuckle Road
Southampton