Friday, April 8, 2011

::Adakah...::

Ibnul Qayyim mengungkapkan : Seorang pendeta berkata: "Wahai Tuhanku, betapa aku sering melakukan maksiat kepadaMu tetapi menpa tidak kunjung datang azabMu menimpa diriku?". Didatangkan ilham kepadanya melalui ilmunya: "Alangkah besarnya azab Allah kepadamu, tetapi engkau tidak mengetahui hakikatnya. Tidakkah engkau berasa dirimu dihalangi daripada merasai kemanisan beribadat kepadaNya?"

Hari ini, genap 6 bulan 16 hari aku berada di bumi baru ini. Bumi yang mengajarku banyak perkara, bumi yang menyaksikan aku melakukan perkara-perkara yang aku sendiri tidak pernah duga aku akan lakukan, bumi yang memaksa aku keluar dari comfort zone aku dan melakukan perkara-perkara yang aku sendiri tidak sedar bahawa aku mampu untuk melakukannya. Dan pagi ini, tatkala melihat mesej yang masuk dalam inbox handphone, mesej ini yang paling terkesan sekali, terima kasih atas peringatan dan perkongsian yang sangat bermakna ini.

6 bulan ini membuatkan aku berfikir kembali kenapa aku berada di jalan ini. 6 bulan ini membuatkan aku berfikir kembali apa yang aku inginkan dalam kehidupan aku yang sementara ini. Dan 6 bulan ini membuatkan aku berfikir, apa yang aku sanggup korbankan tatkala aku menuturkan yang aku ingin terus thabat berada di jalan ini.

Tatkala manusia lain sedang menangis memikirkan masalah study, mereka menangis memikirkan masalah umat. Tatkala manusia lain berkira-kira untuk melancong, mereka menginfakkan wang demi satu cita-cita. Tatkala manusia lain sedang nyenyak tidur, mereka berjaga demi merancang dan memikirkan bagaimana nak membangunkan ummah.Tatkala manusia lain bergelak ketawa menonton cerita, mereka menatap bahan bacaan yang tidak tahu bila akan habisnya.

Nampak sangatlah tak best kan kehidupan itu dari luar. Nampak sangatlah membosankan. Nampak sangatlah tiada keseronokan seperti manusia-manusia lain yang boleh berjalan-jalan di muka bumi Allah dengan gembiranya, yang punya seluruh masa di dunia. Namun,hakikatnya mereka masih mampu tersenyum. Mereka masih mampu ketawa. Dan mereka masih lagi gagah berdiri, menyelusuri jalan itu. Kerana apa? Tatkala hati dirisaukan dengan sedikit kekusutan, datanglah pujukan Allah melalui jalan yang paling halus dan lembut, tatkala jatuhnya sehingga tidak mampu untuk bangun kembali, tangan-tangan hasil ukhuwah keranaNya terhulur tanpa diminta, tatkala tidak mampu lagi untuk melangkah, datanglah kekuatan yang sukar ditafsir dari mana arah datangnya.Kerana rasa bahagia itu letaknya di hati, dan Dialah pemilik semua hati-hati manusia.

"Sungguh, Kami telah memberimu nikmat yang banyak. Maka laksanakanlah solat kerana Tuhanmu,dan berkorbanlah (sebagai ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah). Sungguh, orang yang membencimu,dialah yang terputus (dari rahmat Allah)

(Al-Kautsar;108:1-3)


Dan 6 bulan ini sangatlah menguji apa yang selama ini aku bicarakan. Sangatlah menuntut hak sebuah kata-kata. Sangatlah meminta setiap inci kehidupan yang aku katakan adalah untuk dakwah kepada Allah semata-mata selama aku mengenal tarbiyah. Dan aku bimbang kiranya reputasi di depan manusia yang aku kejar, kiranya redha mereka yang aku risaukan, dan expectation mereka yang ingin aku penuhkan. Bukan lagi kerana cinta Allah dan rasulNya, bukan lagi kerana mengharapkan sebuah pertemuan di akhirat sana, bukan lagi kerana ingin menuntut sebuah cinta yang tiada taranya. Dan aku bimbang andai semua itu membuatkan aku penat untuk melangkah, berat untuk bangun kembali dan letih ingin terus memikirkan, dan aku bimbang andai semua itu membawa kepada terhalangnya diriku daripada merasai manisnya beribadat kepadaNya.

"Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati manusia, tetapkanlah hatiku di atas agamaMu, atas ketaatan kepadaMu, dan atas jihad di jalanMu, ameen ya Rabbal A'lamin¬"

No comments:

Other posts:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...