Hari ini, tatkala berbulatan gembira diri sendiri, tiba-tiba perasaan sedih menyelinap masuk ke dalam hati saya. Kami sedang rancak membincangkan mehnah dan ujian buat para dai'yah ( pendakwah perempuan) dan hikmah mereka diberi ujian tersebut tatkala perasaan halus itu terbit jauh di lubuk hati saya paling dalam.
Saya rindu mereka. Mereka. Mereka yang selama ini memberi sokongan dan menghulurkan tangan setiap kali saya memerlukan tempat untuk berpaut. Mereka yang tidak pernah menyalahkan saya walau macam mana teruk pun saya dan kalau sebagai pelajar, macam mana teruk pun study saya. Mereka yang selama ini sangat yakin dengan setiap keputusan yang saya ambil dan sentiasa bersetuju dengan tindakan saya.
Ya, MEREKA. Ibu bapa saya. Keluarga saya. Dan detik-detik saya mula berjalan di jalan ini menerjah kotak pemikiran saya. Mereka tidak pernah melarang saya untuk melakukan apa yang saya rasakan benar ini. Namun, memikirkan kembali, saya bukanlah seperti orang lain. Apabila mendengar seruan dakwah i'lallah (seruan kepada Allah) , orang pertama yang muncul di benak fikiran manusia lain secara amnya adalah keluarga, namun saya....saya tidak. Mungkin kerana saya merasakan mereka tidak memerlukannya, Dan kerana itu, saya gagal untuk berkongsi setiap perkara yang saya dapat tentang Allah, tentang RasulNya, tentang Islam dan tentang semuanya. Sebaliknya, saya lebih selesa berbicara semua itu dengan manusia lain, tapi tidak dengan mereka.
Dan kini, tatkala saya jauh di bumi ini, beribu-ribu batu daripada mereka, saya merindui mereka, dan saya ingin sekali berkongsi setiap perkara yang saya dapat ini dengan mereka.
Teringat soalan abah kepada saya suatu hari di cuti musim panas tahun ini :
"kamu taknak ke usrahkan abah?" . Apa jawapan saya? Senyuman. Hanya senyuman. Sedangkan Allah dah mudahkan untuk saya bercerita kepada mereka. Dan tatkala itu, saya teringat ayat Allah ini dan huraian saudara Nouman Ali Khan tentangnya. (klik untuk dengar)
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; pemjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan"
(At-Tahrim; 66:6)
Sejauh mana saya berusaha mengajak mereka bersama-sama memahami agama ini. Ya, saya tidak sempurna, dan saya juga sedang belajar, dan saya tidak tahu, adakah saya mampu untuk membawa mereka ke syurga, sedangkan saya sendiri masih belum pasti pengakhirannya, namun, apakah saya tidak ingin berusaha? dan apakah saya hanya menanti dan berserah sahaja.
Ya Allah, ampunilah aku, dan ampunilah kedua orang tuaku, keluargaku , guru-guruku, sahabat-sahabatku dan sesiapa sahaja yang bersama-sama denganku, dan Engkau ampunilah kaum muslimin seluruhnya, yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia, ameen~
[credit] |