Bismillahirrahmanirrahim
Hujung minggu lepas, saya ditanya oleh seorang ukhti tentang sesuatu, saya pun tak tahu macam mana nak jawab. Ukhti tu tanya, macam mana saya menerima pertubuhan * * * apabila ia ditubuhkan?
Sedikit latar belakang, saya ditangkap masuk ke dalam bulatan gembira, berkonferens riang serta jalan dakwah dan tarbiyyah oleh kakak-kakak hebat lagi comel di sebuah kolej yang sangat ideal, aman damai, di tengah-tengah hutan belantara. Semasa saya ditangkap, tidak ada nama dipakai oleh kakak-kakak tersebut, mungkin kerana ketidakperluan untuk memakai apa-apa nama GAH untuk menarik kami yang 'innocent' lagi 'kanak-kanak' ketika itu.
Dan kala ini, saat ini, alhamdulillah, saya telah pun berada di bumi empat musim selama setahun, dan kini, kembali ke bumi itu untuk meneruskan perjuangan di semester yang baru; perjuangan mencari segulung ijazah untuk kehidupan dunia, juga ijazah untuk kehidupan di akhirat sana, inshaAllah.
Berbalik kepada soalan ukhti tersebut, bagaimana saya menerima hakikat bahawa saya sedang bergerak di bawah satu pertubuhan, membawa nama pertubuhan tersebut dalam setiap perkara yang saya lakukan? Susah untuk saya terangkan, kerana secara jujurnya saya tak dapat melihat di mana keperluan untuk saya menjawab soalan itu dan atas dasar apa soalan itu didasari. Berbelit bukan? Apa yang saya cuba maksudkan ialah, saya tak nampak sebenarnya soalan tu nak apa.
Sebuah pertubuhan
( yang menjadikan Allah sebagai matlamat, Rasulullah saw sebagai contoh, Al-Quran sebagai petunjuk, Al-Jihad sebagai jalan serta Syahid fi sabilillah sebagai cita-cita tertinggi) adalah kenderaan untuk mencapai matlamat. Bukan nama pertubuhan itu yang dibawa dalam kehidupan sehari-harian, bukan nama pertubuhan itu yang dicanang-canang, juga bukan pertubuhan itu yang segala manusia diajak untuk menerima. Sebaliknya ia hanyalah kenderaan untuk mencapai sesuatu matlamat, suatu destinasi.
Andai kata kita ingin pergi ke suatu tempat, dan kita ditanya destinasi kita, adakah kita akan menjawab HONDA?? PERODUA?? atau TOYOTA?? atau kita akan menjawab, BALIK KAMPUNG , RUMAH KAWAN atau SEKOLAH LAMA??
(mungkin analogi ini nampak
cliche, namun ia adalah analogi paling mudah kiranya untuk kita memahami persoalan ini.)
Jawapan saya kepada ukhti itu adalah, andai kita perlu menggunakan nama untuk manusia menerima apa yang kita bawa, gunalah! Sepertimana ketika kita menelusuri sejarah tamadun Islam, bilamana Islam tidak lagi boleh disebarkan melalui penaklukan dan penjajahan, berkembang pula bidang ilmu dengan sangat pesatnya untuk menarik manusia kepada Allah. Agar apabila manusia daripada serata dunia datang untuk menuntut ilmu-ilmu tersebut daripada ilmuan Islam, Islam dapat disebarkan kepada mereka.
Sama jugalah dengan kita, saat manusia perlu melihat satu pertubuhan yang zahir untuk menerima dakwah dan tarbiyyah, kita zahirkanlah! agar mereka mengetahui kewujudannya, dan agar mereka mempunyai peluang untuk mendengar tentang Islam dan kehebatannya.
Dan ukhti itu berkata lagi, ada yang tidak dapat menerima kenapa perlu pertubuhan? kenapa * * * ?
Kepada yang bertanya soalan ini, saya beri anda analogi, apabila anda ditanya anda belajar di mana, anda pasti akan menjawab universiti/sekolah/kolej/etc bukan? kenapa perlunya institusi-institusi tersebut? sedangkan matlamatnya sama, memberi ilmu dan melahirkan manusia-manusia yang berguna kepada masyarakat. Boleh sahaja anda belajar di rumah, diajar oleh orang yang berilmu, atau belajar di bawah pokok, sekiranya ada orang yang mampu untuk mengajar anda? Apa perlunya institusi pendidikan? Institusi-institusi ini ditubuhkan untuk memudahkan pengurusan, serta memudahkan pemantauan serta perancangan. Agar tidak ada yang tertinggal, agar semua orang memperoleh apa yang sepatutnya mereka perolehi.
Begitu jugalah pertubuhan-pertubuhan Islam yang ada, ia adalah organisasi untuk memudahkan perancangan demi mencapai matlamat. Matlamat kita bukanlah hanya sejengkal dua, matlamat kita bukanlah hanya sebesar jari kelingking, matlamat kita jauh sekali, tinggi sekali, besar sekali; ingin melihat Islam kembali tertegak di bumi Allah ini, inshaAllah, Dan besarnya matlamat itu memerlukan perincian perancangan yang sangat rapi, memerlukan pelan jangka panjang, dan di sinilah perlunya struktur organisasi itu, agar ia tidak hanya terhenti di satu generasi, agar tidak ada perkara yang bertindih yang kita lakukan. Saya tidak minta anda bawa manusia kepada pertubuhan, seperti saya katakan, ia hanyalah kenderaan,sebagai pemudahcara. Matlamat kita masih agenda utama, inshaAllah.
Allahu a'lam, sekadar pendapat saya yang masih merangkak di jalan ini, yang masih kurang ilmu di dada, yang baru setahun jagung di jalan ini. Tegurlah sekiranya salah, kerana saya juga masih belajar.